Sunday, 20 July 2014

ENAM ASPIRASI MURID & LIMA ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN








Peranan Sekolah Dalam Menjayakan Aspirasi PPPM


Seperti yang digariskan dalam Model Ekonomi Baru RMKe-10, negara kita berusaha untuk berubah daripada negara berpendapatan pertengahan ke arah negara berpendapatan tinggi. Perubahan ini perlu  digerakkan oleh mereka yang berbakat, khususnya pemimpin dan pekerja yang berpengetahuan disamping input lain seperti tenaga kerja dan modal. Dalam keadaan persaingan pada peringkat global negara kita memerlukan warganegara yang berbakat, kompetatif dan sistem pendidikan yang berdaya saing.

Justeru itu kerajaan menerusi KPM telah merangka suatu tranformasi dalam sistem pendidikan bagi membolehkan aspirasi negara ke arah negara berpendapatan tinggi dapat direalisasikan. Aspirasi untuk menjayakan tranformasi sistem pendidikan terdiri daripada dua aspek, iaitu aspirasi keseluruhan sistem pendidikan dan aspirasi setiap murid.

ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN

Terdapat lima hasil yang ingin dicapai dalam Pelan Pembangunan Pendidikan, iaitu; akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Lima aspirasii ini muncul daripada laporan pendidikan yang pernah dikeluarkan sebelum ini tetapi kandungannya masih relevan iaitu Laporan Razak (1956), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979) dan PIPP (2006-2010).

Sekolah adalah barisan hadapan dan peringkat operasi dalam melaksanakan tanggungjawab memastikan lima aspirasi sistem pendidikan dapat dicapai.

1. Akses Kepada Kejayaan

Sekolah mempunyai peranan untuk memastikan setiap murid di sekolah mendapat akses yang sama kepada pendidikan berkualiti, tanpa mengira taraf ekonomi, kaum atau latar belakang murid bagi membolehkan murid mencapai potensi masing-masing.

Prinsip pendidikan untuk semua, perlu dijadikan asas dalam memastikan akses dan enrolmen setiap lapisan murid dari peringkat prasekolah ke peringkat sekolah menengah dapat dipenuhi. Bagi tujuan ini pihak sekolah perlu memberi komitmen demi memastikan tiada murid yang tercicir dan semua murid memenuhi standard minimum iaitu sekurang-kurangnya lulus dalam mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral  pada akhir tingkatan 5.

Tujuannya adalah untuk meletakkan negara kita setanding dengan negara maju yang lain di samping meningkatkan peratusan murid melanjutkan pelajaran pada peringkat universiti, kolej, politeknik, vokasional dan program latihan kemahiran yang berstruktur.

2. Kualiti Standard Antarabangsa Yang Tinggi.

Aspirasi kedua ini melibatkan peranan sekolah dalam meastikan setiap sekolah memberikan proses pendidikan yang berkualiti kepada murid-murid setanding dengan negara maju yang lain mengikut standard antarabangsa. Langkah ini termasuklah standard untuk bidang Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris serta kemahiran berfikir aras tinggi.

KPM misalnya telah mensasarkan agar negara berada dalam kelompok sepertiga teratas dari segi prestasi dalam TIMSS (Trends in Mathematics and Science Study) dan PISA (Programme For International Student Assessment) dalam tempoh 15 tahun.

Oleh itu komitmen guru dan masyarakat yang mendukung sekolah yang tinggi amatlah diharapkan. Pelaksanaan i-THINK dan Frog VLE perlulah dilaksanakan secara serius kerana ia adalah kerangka asas yang dapat memenuhi keperluan proses pembelajaran dan pengajaran berkualiti tinggi.

3. Ekuiti Untuk Semua Murid

Sekolah perlu memastikan sistem pendidikan yang dilaksanakan berada pada tahap  yang terbaik kepada setiap murid tanpa mengira etnik, tempat atau latar belakang sosioekonomi. Sekolah perlu meberi peluang kepada setiap murid supaya jurang yang ada dalam kalangan mereka dapat dirapatkan.

Sekolah bertanggungjawab untuk memastikan setiap murid yang mempunyai pelbagai latarbelakang dan sosioekonomi di sekolah mendapat hak dan ekuiti yang sama terhadap kemudahan dalam menyokong pembelajaran dan pembangunan sahsiah mereka.

Program Pendidikan Khas, Kelas Rancanagan Khas dan Program Kawalan yang terdapat disekolah perlulah diurus dengan berkesan bagi membolehkan murid dibangunkan mengikut kebolehan dan potensi masing-masing.

4. Memupuk Perpaduan Dalam Kalangan Murid

Sejak merdeka aspirasi negara yang utama ialah mewujudkan perpaduan dalam kepelbagaian kaum yang ada. Sesebuah negara yang menghargai kepelbagaian dan mengutamakan keterangkuman sosial yang unik akan mempamirkan perpaduan yang lebih kuat. Kajian yang dilakukan oleh OECD pula menunjukkan bahawa perpaduan yang kuat mempunyai kaita yang rapat dengan rakyat yang sihat, masyarakat yang selamat dan kadar guna tenaga yang tinggi.

Murid menghabiskan masa lebih seperempat daripada mereka di sekolah semasa mereka berusia 7 hingga 17 tahun, maka sekolah merupakan medan yang subur untuk pemupukan semangat perpaduan. Oleh itu sekolah perlu mewujudkan interaksi dalam kalangan murid-murid agar mereka belajar saling memahami, menerima dan menghargai kepelbagaian.

Gerak kerja kokurikulum perlu dioptimumkan dan dasar 1 murid 1 sukan perlu dimantapkan agar penerapan nilai dan pengalaman dapat diterapkan ke arah pembinaan identiti nasional yang seterusnya memupuk perpaduan.

5. Pelaksanaan Berkecekapan Tinggi

Aspirasi pendidikan nasional yang kelima ialah elemen kecekapan. Kerajaan menerusi bajet tahunan telah memperuntukan perbelanjaan besar kepada sektor pendidikan (16%), yang secara jelas menunjukkan komitmen tinggi kerajaan terhadap pendidikan. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab guru-guru dan warga pendidikan di sekolah untuk memastikan pulangan dalam bentuk keberhasilan murid dimaksimumkan untuk setiap ringgit yang dibelanjakan.

Pelaksanaan program pendidikan perlu dibuat secara lebih bertanggungjawab dan menggunakan sumber yang ada secara cekap, berkesan dan memberi impak yang maksimum.


ASPIRASI MURID

Adalah menjadi aspirasi KPM untuk memastikan setiap murid mencapai potensi yang ada pada diri mereka sepenuhnya. Oleh yang demikian setiap pemimpin di sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat mempunyai peranan penting dalam memastikan generasi muda ini mencapai aspirasi yang diharapkan.

Dalam PPPM, Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menekankan pembangunan murid secara menyeluruh dan seimbang telah diterjemahkan kepada enam elemen, iaitu penekanan kepada elemen Pengetahuan dan  Kemahiran; membangunkan Pemikiran Kritis, Kreatif dan Inovatif; Kemahiran Memimpin; Kemahiran Dalam Dwibahasa (Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris); Sahsiah dan Nilai serta semangat Identiti Nasional yang kuat. Setiap elemen ini turut memberi penekanan kepada usaha bagi membolehkan semua murid memberi sumbangan bermakna terhadap institusi keluarga, masyarakat dan negara.

1. Pengetahuan

Pada peringkat yang paling asas, adalah menjadi tanggungjawab sekolah untuk memastikan setiap murid mempunyai keupayaan literasi dan numerasi. Perkara ini amatlah penting kerana murid perlu mempunyai kemahiran hidup yang asas serta bagi membolehkan mereka berfungsi secara berkesan dalam masyarakat. Keupayaan dalam literasi dan numerasi juga membolehkan muird memupuk nili diri untuk kesejahteraan diri, masyarakat dan negara.

Murid-murid juga perlu dipastikan menguasai mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah. Murid-murid juga perlu digalakkan untuk menguasi bidang seni, muzik dan sukan supaya kemahiran dalam bidang ini membolehkan mereka mengaplikasikan dalam kehidupan.  

2. Kemampuan Memimpin

Sekolah adalah medan yang terbaik untuk memupuk kepimpinan dan kemahiran bekerja secara berpasukan secara berkesan dalam kalangan murid-murid selaku pewaris kepimpinan negara. Oleh yang demikian pihak sekolah seharusnya peka terhadap keperluan murid untuk membangunkan potensi dan bakat kepimpinan yang ada pada diri mereka. Dalam konteks ini kepimpinan yang perlu dibangunkan melibatkan empat unsur iaitu;

  • Keusahawanan; mengambil inisiatif untuk mewujudkan dan membangunkan penyelesaian diri, sanggup membuat pelaburuan dari sumber sendiri.
  • Berdaya Tahan; membangunkan cara berfikir yang konstruktif serta mampu menghadapi rintangan.
  • Kecerdasan Emosi; berupaya memahami dan bekerja secara berkesan dengan orang lain serta mampu mempengaruhi mereka secara positif.
  • Keterampilan Komunikasi; berupaya memberikan pendapat dan hasrat secara lisan dan bertulis dengan jelas.
Sekolah perlu memastikan persekitarnnya dan iklimnya menyokong kepada pembangunan keempat-empat unsur di atas sama ada dalam aktiviti di bilik darjah, mahu pun di luar bilik darjah seperti kegiatan sukan dan kokurikulum.

3. Kemahiran Dwibahasa

Setiap murid perlu mengusai bahasa Malaysia sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua dan bahasa komunikasi antarabangsa. Murid- murid juga diberi peluang dan galakkan untuk menguasai bahasa tambahanseperti bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Arab serta bahasa ibunda lain seperti bahasa Iban dan Kadazan-Dusun.

Penguasaan kemahiran berbahasa ini amatlah penting bagi membolehkan murid-murid bersosialisasi merentas sempadan budaya dan etnik, yang seterusnya menyubnag kepada pemupukan kerjasama dan komunikasi pada peringkat global.

4. Etika dan Kerohanian

Pihak sekolah perlu berperanan dalam memastikan setiap murid mempunyai sifat berani menghadapi cabaran masa hadapan, menyelesaikan konflik secara aman serta membuat keputusan yang wajar dalam situasi kritikal, dan mempunyai keberanian melakukan apa yang betul.

Sekolah perlu berusaha untuk mewujudkan nilai bersama yang kukuh berteraskan kepada satu set prinsip, iaitu;
  • Kerohanian; memastikan murid mempunyai pegangan agama yang kuat dan mengamalkannya sebagai asas hidup, serta mempunyai asas moral yang tinggi.
  • Integriti; memastikan murid dibimbing agar mempunyai keberanian, disiplin dan semangat untuk melakukan perkara yang betul.
  • Tanggungjawab Sivik; murid dibimbing ke arah sikap yang positif dan bertindak untuk kebaikan negara, mengambil berat terhadap orang lain dan alam sekitar.
5. Identiti Nasional
 
Aspirasi kelima terhadap murid dalam PPPM adalah berkaitan usaha membina identiti nasional dalam kalangan murid-murid. Aspirasi ini antara lain adalah untuk melahirkan murid yang mempunyai perasaan tidak berbelah bahagi tentang identiti nasional, berpegang teguh kepada prinsip Rukunegara dan sentiasa mengutamakan perpaduan.
 
Sekolah perlu berperanan sebagai tempat semaian yang subur semangat patriotisme dalam kalanagan murid tanpa mengira etnik, kepercayaan, taraf sosioekonomi atau tempat. Sebaliknya murid mempunyai sifat berbanga sebagai anak Malaysia, memahamii dan menerima perbezaan, menghormati orang lain dan bersedia untuk hidup bersama dalam kepelbagaian budaya.



No comments:

Post a Comment